Thursday, July 24, 2008

Mengapa Aku Bukan Seorang Tabligh?

Perkenalanku dengan jemaah Tabligh bermula ketika aku di tahun pertama di UKM.ketika itu,dua orang seniorku,abang Shariman dan Abang Fazmi banyak mengajakku untuk bersama-sama mereka. Aku jadi berminat untuk mengetahui tentang jemaah ini kerana diajak oleh mereka. Ketika itu yang menarik perhatianku adalah sikap dan akhlak mereka. Mereka menunjukkan sikap yang ramah, sederhana dan mudah bergaul dengan sesiapapun. Inilah bagiku keistimewaan dan daya tarikan jemaah Tabligh. Tidak diragukan lagi mereka adalah orang-orang yang baik dan ikhlas. Aku ikuti mereka sehingga ke Markaz mereka di Sri Petaling,Selangor. Aku dapati pengisian rohaninya amat menarik dan memberikan keinsafan. Memang sesuai untuk sesiapa sahaja yang hauskan spiritualiti. Namun aku tidak dapat pergi lebih jauh dari itu. Dalam hati dan fikiranku tetap mengatakan ia bukanlah gerakan Islam yang kuidam-idamkan. Namun ketika itu aku tidak dapat menjelaskan mengapa.

Semakin dalam aku mempelajari agama semakin jelas kepadaku hakikat sebenar gerakan ini dan segala kekurangannya. Meskipun ia dapat memberikan kepuasan rohani dan mendidik orang-orang yang hauskan kerohanian, sama ada kerana baru mengenal Islam ataupun kerana lebih selesa dengan pendekatan ‘uzlah (menyendiri untuk beribadah),namun ia tidak terlepas dari banyak penyimpangan dan kekeliruan. Aku sedar pendedahan ini akan menyinggung saudara-saudaraku dari jemaah Tabligh, namun kebenaran perlu dinyatakan agar umat Islam tidak terus melakukan kesilapan.

Pertama, aku melihat Tabligh sebagai lambang kepada sebuah penafsiran Islam yang konservatif. Golongan ini menafsirkan agama secara kolot dan rigid. Hanya kerana Rasulullah s.a.w. keluar berdakwah menawarkan Islam kepada kabilah-kabilah Arab ketika di Mekah, maka apakah kita perlu melakukan persis hal yang sama? Mestikah kita mengikuti Sunnah Rasul secara rigid, ataukah pelaksanaan Sunnah tersebut diserahkan kepada kita untuk disesuaikan dengan keadaan semasa. Apakah ia satu perintah yang spesifik dengan kaedahnya ataukah satu kewajipan yang harus mengikut keadaan. Pada masa ini dakwah dapat dilakukan melalui seribu satu kaedah dengan kecanggihan teknologi. Aku tidak fikir caranya mesti sama dengan cara yang ditempuhi oleh Rasulullah. Apa yang penting dakwah dilaksanakan, Risalah diteruskan dan kebenaran Islam terserlah. Yang jelas dalam Islam banyak ruang untuk umat Islam menggunakan kreativiti dan kepintaran mereka dan Islam tidak sama sekali ingin menjadikan umatnya bersikap dogmatik dan kaku. Aku yakin, sebagaimana dicontohkan dalam peristiwa khaibar, Rasulullah memberikan kebebasan kepada umatnya untuk melaksanakan perintahnya mengikut kemampuan dan kefahaman masing-masing, asalkan perintah dilaksanakan. Semakin jelas kepadaku bahawa pendekatan konservatif tidak dapat dan tidak boleh kuterima. Allah telah kurniakan aku dengan akal untuk berfikir kehadapan. Oleh kerana itu aku tidak dapat menerima doktrin yang menuntut pengikutnya hanya mengikut sahaja. Aku yakin setiap pendekatan yang memenjarakan akal dan menutup cakrawala pemikiran bukan daripada Islam.

Aku melihat mereka adalah golongan yang anti kemajuan dan menerima budaya patriarki. Kerananya ramai daripada golongan ini merendahkan dan mengongkong wanita, melarang kaum wanita daripada bekerja dan mendapatkan pendidikan yang tinggi. Memang tidak salah menyuruh kaum wanita menjadi surirumah, bahkan ia juga satu yang baik untuk kepentingan keluarga, namun melarang mereka bekerja, atau bersekolah tinggi kerana takutkan pergaulan bebas adalah langkah ke belakang. Umat Islam memerlukan sumber manusia yang baik untuk membangunkan ummah. Tampaknya golongan Tabligh tidak menjadikan agenda pembangunan ummah sebagai keutamaan; mereka tidak melibatkan diri dalam membangunkan sistem pendidikan Islam, sistem ekonomi, politik dan perundangan Islam. Banyak cabaran perlu ditangani oleh umat Islam hari ini. Antara cabaran yang besar bagi umat Islam hari ini adalah mengenyahkan segala kekeliruan dan salah faham tentang Islam dan menegaskan ketinggian dan keindahan Islam di mata dunia. Semua ini hanya dapat dilakukan dengan menuntut ilmu setinggi yang mungkin dan meningkatkan diri, bukan mengasingkan diri, menolak kemajuan atau menolak dunia.
Islam tidak sesekali meremehkan dunia seperti dalam agama Kristian. Islam menuntut kesungguhan, disiplin, dan amanah dalam kerjaya, tanggungjawab keluarga, sosial dan ekonomi. Islam menuntut umatnya agar dapat menyeimbangkan antara keperluan dunia dengan akhirat, antara jasmani dengan rohani dan bukan meninggalkan atau meremehkan salah satunya. Kemajuan adalah sesuatu sifat semulajadi yang Tuhan berikan kepada manusia. Dengannya manusia mampu mencapai kesempurnaan (insan kamil) dan menjadi khalifah Allah di muka bumi. Tanpanya manusia akan kekal sebagai makhluk yang diciptakan dari tanah dan dengan itu telah mensia-siakan banyak potensi yang Allah berikan kepadanya.


Kedua, aku melihat golongan Tabligh memandang remeh terhadap ilmu pengetahuan. Golongan ini berpendapat ilmu yang tinggi tidak membawa apa-apa manfaat. Dalam satu dialog antara aku dengan seorang Tabligh, ia mengatakan bahawa keluar bermujahadah adalah lebih lebih penting daripada menimba ilmu. Dengan keluar bermujahadah (khuruj) seseorang akan memperoleh ilmu yang sebenar-benarnya. Tentunya ilmu yang ia maksudkan adalah ilmu dalam konteks sufi iaitu irfan. Secara tidak langsung mereka membiarkan diri mereka dibelenggu kejahilan dan meminggirkan ilmu-ilmu yang justeru telah mengangkat martabat umat Islam di masa dahulu. Aku yakin ma’rifatullah tidak akan tercapai selagi kejahilan membelenggu kita.

Kerana kejahilan inilah golongan ini cenderung mengulang perkara yang sama dalam setiap kesempatan dakwah mereka. Kerana kekurangan ilmu, mereka bercakap tentang perkara-perkara asas dalam Islam tanpa mampu menghuraikannya secara ilmiah dan matang oleh itu ia tidak menarik minat masyarakat khususnya kaum muda untuk mendekati Islam. Malah lebih malang lagi generasi muda orang bukan Islam cenderung mentertawakan golongan ini dan hal ini tidak baik untuk imej Islam.

Ketiga, mereka mempunyai sikap taassub dan fanatik terhadap guru dan ketua mereka. Mereka meletakkan syeikh Tabligh di atas segala-galanya. Setelah berbay’ah kepada guru tersebut, mereka percaya guru mereka mempunyai banyak keistimewaan yang tidak dimiliki oleh orang lain. Kedudukan guru ini seolah-olah lebih tinggi daripada Rasulullah sendiri. Mereka taat dan patuh kepada doktrin guru mereka bahawa khuruj lebih penting daripada menuntut ilmu. Sedangkan Rasulullah mewajibkan umatnya menuntut ilmu (talab al-ilm) sepanjang hayat. Bagi golongan ini ijtihad telah tertutup kerana tidak ada seorangpun yang mampu memiliki kecerdasan para Imam mazhab.

Keempat, doktrin-doktrin dalam Tabligh cenderung untuk membius pengikutnya sehingga tidak sedar akan tanggungjawabnya terhadap bangsa, negara dan umat. Mereka seolah tidak peduli dengan apa yang berlaku terhadap umat Islam. Kezaliman dan penindasan oleh penguasa-penguasa tertentu dan musuh-musuh Islam langsung tidak memberi kesan dan reaksi kepada diri mereka.

Pada asalnya, ketika gerakan ini dilancarkan akhir 1920an, gerakan ini bertujuan untuk mengajak masyarakat India Muslim yang masih berpegang dengan budaya Hindu agar betul-betul melaksanakan Islam dalam kehidupan mereka. Dalam usaha menyedarkan masyarakat lama-kelamaan mereka sendiri terbius oleh ketidaksadaran bahawa mereka telah mengobati penyakit dengan penyakit yang lain. Golongan ini semakin pasrah kepada takdir bahawa mereka adalah bangsa yang lemah dan tidak berdaya untuk melakukan perubahan. Mereka menemukan kelazatan, atau kepuasan, dengan mengasingkan diri secara spiritual daripada hiruk pikuk dunia. Secara tidak langsung mereka menyerahkan kepada Allah agar melakukan perubahan untuk mereka. Padahal sesiapapun tahu emas tidak akan turun dari langit.

Muhammad Ilyas, pendiri gerakan ini, memang telah mengambil tindakan yang betul dalam memperkenalkan pendekatan khuruj (keluar bermujahadah) dalam konteks masyarakat India yang terkebelakang pada masa itu. Tetapi untuk diikuti secara membuta tuli oleh kita di masa ini dalam konteks yang berbeza adalah sesuatu yang tidak rasional. Ia tidak sesuai lagi untuk masyarakat yang membangun di zaman globalisasi. Cabaran hari ini menuntut kita untuk mengemukakan idea-idea kita secara ilmiah dan mantap kerana masyarakat semakin pintar dan menuntut penjelasan yang matang. Permasalahan hari ini juga semakin kompleks, dengan tersebarnya fahaman sekularisme, liberalisme dan pascamodenisme, maka keadaan ini menuntut kita untuk memiliki keilmuan yang tinggi dan berfikir dengan mendalam dan komprehensif. Masalah ramainya orang Melayu murtad contohnya tidak dapat ditangani hanya dengan mengajak kaum muda mendirikan solat berjamaah.

Kelima, mereka melakukan banyak tafsiran yang menyimpang dan bid’ah. Jihad yang disepakati oleh para ulama sebagai mekanisme untuk mendaulatkan Islam dan umat Islam ditafsirkan secara simplistik dengan khuruj (keluar berdakwah). Pendangkalan makna jihad ini amat disukai oleh musuh-musuh Islam sehingga tidak melihat golongan ini sebagai ancaman kepada Barat. Mereka menetapkan bilangan tertentu untuk melaksanakan aktiviti mereka iaitu khuruj 40 hari dalam setahun , 4 bulan seumur hidup semua ini tentunya adalah bid’ah. Kerana dengan aktiviti tersebut mereka berharap ia akan bernilai ibadah di sisi Allah. Pemahaman mereka terhadap aqidah dan iman juga terlalu dangkal sehingga melihatnya terpisah daripada kehidupan harian apalagi meliahatnya sebagai asas cara berfikir dan worldview yang membentuk peradaban Islam.

Keenam, golongan Tabligh tidak memperdulikan permasalahan politik. Bagi mereka persoalan politik bukan sebahagian daripada agama. Mereka beranggapan bahawa perubahan masyarakat hanya mungkin dilakukan melalui dakwah secara tradisional; perjuangan melalui pendekatan selain dakwah termasuk politik dan pendidikan tidak akan membawa kepada kejayaan. Aku hairan, jika benar mereka ingin mengikuti Sunnah Rasul, maka seharusnya mereka tidak memisahkan agama dengan politik. Atau mengambil ajaran Islam yang bersifat spiritual sahaja dengan meninggalkan ajaran Islam yang berkaitan dengan politik dan pemerintahan. Tindakan ini sama sahaja dengan beriman dengan sebahagian daripada Kitab dan mengingkari sebahagian yang lain. Nyata sekali sikap seperti ini ditempelak oleh al-Qur’an dan hanya akan mendatangkan kehinaan di dunia dan siksaan Allah di akhirat (al-Baqarah: 85).

Begitu jelas bagiku bahawa al-Qur’an ingin Islam dilaksanakan sepenuhnya termasuklah dalam ruang publik dan politik. Rasulullah s.a.w. menggagaskan perlembagaan pertama di dunia dan berjaya memimpin sebuah negara yang adil, bertanggungjawab dan makmur. Negara dan Tamadun yang diasaskan oleh Baginda dihormati dan disegani oleh raja-raja dunia. Praktik politik pada generasi awal Islam adalah contoh bagaimana sebuah pemerintahan yang adil dan bertanggungjawab dapat dilaksanakan dengan berdasarkan kepada Islam dan bukan pemikiran manusia yang sempit. Semua itu perlu diikuti dan bukan hanya dibanggakan atau disembunyikan dalam lipatan sejarah. Dengan sistem yang menyeluruh dan holistik ini maka Islam dapat memperluas pengaruhnya ke seluruh dunia dan menjadi agama rahmatan li al-‘alamin yang menjanjikan keamanan dan kedamaian. Namun sayangnya keunggulan sistem-sistem Islam ini dikhianati oleh umat Islam sendiri yang sengaja menutup mata dan membutakan hati dari melihat dan mengkaji khazanah-khazanah yang ditinggalkan oleh para pendahulu mereka.

Pesanku untuk teman-teman dalam jemaah Tabligh agar jangan menjadikan Tabligh sebagai akhir pencarianmu tetapi jadikanlah ia awal pencarian yang dapat membawa kepada penyucian diri dan sebahagian daripada usaha untuk mencontohi Rasulullah. Jika kita buka minda, kita akan nampak banyak lagi tanggungjawab yang perlu dipikul. Alangkah baiknya jika usaha yang dilakukan oleh jemaah Tabligh, dengan jumlah mereka yang begitu ramai, disalurkan dengan tepat dan bijaksana. Tentunya usaha dan kegigihan mereka akan dapat memberi kesan yang besar terhadap pembangunan dan pemberdayaan umat Islam di zaman ini. Namun kerana ketertutupan minda mereka dari menerima pandangan-pandangan yang lain dari yang selalu mereka dengar maka selamanya mereka tidak berupaya memahami masalah sebenar umat ini. Oleh itu, keikhlasan dan kebaikan peribadi sahaja tidak cukup untuk menjadi seorang Muslim yang sejati. Banyak lagi prasyarat dan kriteria yang perlu dimiliki untuk menjadi hamba Allah sekaligus khalifahNya di muka bumi ini.

2 comments:

asyzsufi said...

carilah kesamaan matlamat...moga usaha2 sebarkan kalimah Allah yg dilaksanakan oleh para pejuang agama dari pelbagai golongan jemaah dpt disemarakkan lagi...moga Allah kurnia rahmat kpd kita semua...ameen..

AllahuAkbar...

asyzsufi said...

Disebutkan dalam sebuah hadis :-

r07;لا تحقرن من المعروف شيئا ولو أن r07; r07;تلقى أخاك ووجهك منبسط

Ertinya : "Janganlah kamu mencela apa jua perkara kebaikan (yang dilakukan) , walaupun hanya sekadar seseorang bertemu saudaranya dengan wajah yang senyum dan riang.." ( Riwayat Ahmad , dari hadis Jabir , no 19717 )

saya fokus kepada PENYATUAN UMMAH dan SALING MELENGKAPI