Wednesday, July 23, 2008

Jalan-Jalan Cari Wanita

BAHAN-BAHAN

1 Batang pen
1 helai kertas (kecil sedikit dari A4)
2/3 Perenggan kata-kata berupa nasihat.( secukup rasa)

Begini. Caranya begitu mudah. Anda tidak perlu mengerah suara. Cukup menggerakkan tangan menulis tidak sampai 10 minit, dan menggerakkan tangan menghulur kertas tidak sampai 10 saat. Untuk apa? Hendak tulis apa?

Untuk mereka yang berhati iman, semestinya iman tidak selesa melihat maksiat menjamu hati. Tetapi,banyaknya hati-hati kita ini setakat tidak redha dalam hati. Bagi kita, kalau tidak mampu hendak tegur guna tangan dan mulut, benci dalam hati itu pun sudah dikira iman. Aish, tak kan hendak pegang title selemah-lemah iman itu sampai dijemput izrael?

Jadi, sebagai manusia yang pantang mencari alasan, pastinya otaknya ligat mencari sebab untuk tetap berdakwah. Bukan mencari sebab untuk takut berdakwah. Alhamdulillah, saya menemui satu cara yang saya fikir agak kreatif untuk ‘menahi munkar’ melalui seorang sahabat yang sangat-sangat saya kagumi fikrah dakwahnya. Mungkin kita ingin menegur pasangan-pasangan maktuwe dan paktuwe yang busy dating, ataupun, gerombolan wanita yang busy buat tayangan baju ala-ala baju budak tadika. Tetapi kerana tidak yakin dan takut akan respon mereka ini, anda batalkan niat anda.

Oleh itu, saya Cuma menyediakan cadangan untuk anda. anda tulislah kata-kata nasihat yang betul-betul lahir dari hati anda. tidak perlu terlalu banyak berdalil. Yang penting hikmah melalui tulisan anda itu tertusuk ke hati mereka. Awas! Jangan cuba-cuba taip! Tulislah dengan tulisan tangan kerana ia melambangkan kejujuran dan keikhlasan anda untuk menasihati. Awas! Jangan guna ayat-ayat mencaci dan kasar! Kata-kata pujian pada awalnya dan kelembutan dalam menasihati itu yang nabi ajarkan pada kita.

Assalamu’alaikum saudari..

Maaf menganggu waktu sdri. Sebenarnya dari tadi saya asyik memandang sdri. Alhamdulillah, saya lihat sdri memang cantik bertudung litup,dan berbaju kurung. Kurniaan Allah yang Maha Sempurna juga menghadiahkan wajah yang sempurna cantiknya buat sdri. Semuanya lengkap untuk menjadi seorang muslimah. Bahkan sdri jauh lebih sopan pakainya dari wanita-wanita di sekeliling sdri yang berpakaian singkat lagi ketat. Itulah istimewanya sdri.(“,)

Sdri pernah dengar kata-kata ini :

“ jadilah kamu seperti mutiara yang di dasar lautan, biar ia jauh ke dasar dan tertutup tiram, namun nilainya tiadalah tandingan, usah kamu jadi seperti batu di jalanan,begitu murah dan mudah dipijak-pikak orang-orang tanpa sebarang nilai ”

Begitulah letaknya harga seorang muslimah sdri. Prinsip kita, kita bukanlah murah dan mudah untuk didekati mana-mana lelaki. Prinsip kita, kita adalah mawar yang awas dilingkari duri. Namun, jika sekarang sdri sedang bersama lelaki yang jelas-jelas bukan suami sdri, di mana letaknya lagi nilai diri sdri? Haruskah dipersamakan seperti batu tadi?


Saya yakin sdri bukanlah seperti itu. Sdri,apabila menjadi wanita, jadilah mahal untuk lelaki, apabila menjadi wanita, jadilah sombong untuk lelaki, apabila jadi wanita, jadilah yang susah untuk lelaki, kerana itu adalah taraf kita. Yang terpelihara dari yang murah dan mudah.

Sekadar itu sdri. Kerana saya sayangkan sdri yang sama-sama memegang title muslimah, saya mengajak sdri agar jauhilah bicara-bicara fitnah yang akan menimpa sdri. Mata-mata yang melihat keadaan sdri berdua dengan lelaki, sedikit sebanyak akan mengurangkan maruah diri sdri. Sedangkan maruah itu adalah permata seorang wanita. Sdri,maaf jika ada keterlanjuran kata.

( kemudian,lipatkan kertas tersebut, dan bergeraklah mencari ‘wanita’ yang dimaksudkan. Dengan lafaz bismillah, anda hanya perlu tegur dan bagi salam dan hulurkan ‘surat’ tersebut. Kemudian meminta diri. hanya itu!)

Yakinlah dengan niat kita. Jika bukan sekarang perubahannya, insyAllah, suatu masa, nasihat kita akan menjadi ‘turning point’ baginya untuk berubah.

Yang penting setelah itu, kita banyak-banyak berdoa agar Allah membuka hati mereka ini. Itu sahaja tinggal usaha yang terakhir.

Cubalah dahulu!

No comments: