Tewasnya Seorang Mufti
Tentu ada yang keliru. Suatu ketika kita tegas tetapi pada masa yang lain kita lunak pula. Tegas dan lunak pada masa yang berlainan adalah biasa, tetapi kalau isunya sama, piawainya hendaklah sama supaya ketegasan atau kelunakan itu sandarannya kukuh dan benar.
Bukan kerana yang membantah adalah pemuda PAS maka bantahan itu perlu disokong, tetapi kerana alasan yang digunakan adalah sangat munasabah.
Untuk apa Rihanna ke Malaysia?
Dia orang Amerika. Sudah penuhkah bumi Amerika untuk menampung suaranya sehingga perlu dilimpahkan pula ke negara kita? Belum cukupkah video klipnya, VCDnya yang berlambak di pasaran sehingga dia perlu berkunjung ke sini? Belum cukupkah betis, peha, dada artis tempatan yang ditatap terbeliak oleh anak muda Malaysia sehingga memerlukan pula betis, dada dan peha wanita Amerika pula?
Bukan dia tidak berhak menjejakkan kaki ke sini tetapi dalam suasana sekarang, ini dirasakan sangat tidak sesuai. Ketika semua orang meratapi bencana Gaza, duit disalurkan ke sana, orang berdemo membantah kekejaman Zionis, ada rakyat Malaysia yang bergadai nyawa menyumbang bakti di sana, tiba-tiba Pengerusi Celcom Datuk Shzali Ramli, seorang Muslim, saya ulang dengan huruf besar dan tebal, SEORANG MUSLIM, seolah-olah mengajak umat Islam melupai walau seketika bencana itu dan mengajak rakyat negara ini berleka bersama Rihanna. Murahnya nyawa manusia Gaza dan mahalnya tubuh Rihanna.
Kementerian Kesenian, Kebudayaan dan Warisan (KEKWA) pula seolah-olah tidak menghargai dan menghormati perasaan rakyat negara ini. Tolonglah, memang suara bantahan ini tidak merdu dan lunak, tetapi kelunakan suara Rihanna bagai pisau tajam yang menghiris jantung hati umat Islam yang berduka dengan darah saudara mereka di Gaza. Untuk apa dia ke sini? Untuk seni, seni apa?. Untuk budaya, budaya apa?. Warisan apa pula yang ingin dipamerkan kepada rakyat Malaysia melalui konsert Rihanna? Akan terjulangkah martabat industri muzik Malaysia dengan kunjungan manusia Rihanna itu?
Oh ya, berbalik kepada kekeliruan, kekeliruan apa?
Tentu ramai yang masih ingat lagu 'Aku Bukan Musuh Harta', liriknya nukilan Dr Mohd Asri Zainal Abidin, mantan Mufti Perlis yang diharamkan oleh RTM. Lagu puisi ini dinyanyikan oleh kumpulan Kopratasa. Alasan pengaharamannya mudah. Menurut Timbalan Ketua Pengarah Penyiaran, Datuk Adilah Shek Omar, tindakan RTM mengharamkan lagu itu kerana liriknya tidak sesuai dan kasar.
Wah, rupanya lirik lagu ‘Umbrella’ dan ‘Bad Girl’ nyanyian Rihanna sesuai dan lembut. Bahasa Mufti keras, bahasa penyanyi Amerika lembut. Oh, begitu rupanya. Rupa-rupanya lirik lagu memerangi rasuah adalah keras, lirik lagu Bad Girl yang entah apa-apa pula adalah lembut.
Kalau RTM boleh menghalang lagu Kopratasa berkumandang, mengapa KEKWA tidak boleh menghalang lagu Rihanna berkumandang?
Akhirnya kalah juga Dr Asri dengan Rihann. Dia mengiringi Almarhum Dato' Ishak Baharom yang kalah dengan ratu cantik.
No comments:
Post a Comment