Thursday, January 22, 2009

Tewasnya Seorang Mufti




Tentu ada yang keliru. Suatu ketika kita tegas tetapi pada masa yang lain kita lunak pula. Tegas dan lunak pada masa yang berlainan adalah biasa, tetapi kalau isunya sama, piawainya hendaklah sama supaya ketegasan atau kelunakan itu sandarannya kukuh dan benar.

Bukan kerana yang membantah adalah pemuda PAS maka bantahan itu perlu disokong, tetapi kerana alasan yang digunakan adalah sangat munasabah.

Untuk apa Rihanna ke Malaysia?

Dia orang Amerika. Sudah penuhkah bumi Amerika untuk menampung suaranya sehingga perlu dilimpahkan pula ke negara kita? Belum cukupkah video klipnya, VCDnya yang berlambak di pasaran sehingga dia perlu berkunjung ke sini? Belum cukupkah betis, peha, dada artis tempatan yang ditatap terbeliak oleh anak muda Malaysia sehingga memerlukan pula betis, dada dan peha wanita Amerika pula?

Bukan dia tidak berhak menjejakkan kaki ke sini tetapi dalam suasana sekarang, ini dirasakan sangat tidak sesuai. Ketika semua orang meratapi bencana Gaza, duit disalurkan ke sana, orang berdemo membantah kekejaman Zionis, ada rakyat Malaysia yang bergadai nyawa menyumbang bakti di sana, tiba-tiba Pengerusi Celcom Datuk Shzali Ramli, seorang Muslim, saya ulang dengan huruf besar dan tebal, SEORANG MUSLIM, seolah-olah mengajak umat Islam melupai walau seketika bencana itu dan mengajak rakyat negara ini berleka bersama Rihanna. Murahnya nyawa manusia Gaza dan mahalnya tubuh Rihanna.

Kementerian Kesenian, Kebudayaan dan Warisan (KEKWA) pula seolah-olah tidak menghargai dan menghormati perasaan rakyat negara ini. Tolonglah, memang suara bantahan ini tidak merdu dan lunak, tetapi kelunakan suara Rihanna bagai pisau tajam yang menghiris jantung hati umat Islam yang berduka dengan darah saudara mereka di Gaza. Untuk apa dia ke sini? Untuk seni, seni apa?. Untuk budaya, budaya apa?. Warisan apa pula yang ingin dipamerkan kepada rakyat Malaysia melalui konsert Rihanna? Akan terjulangkah martabat industri muzik Malaysia dengan kunjungan manusia Rihanna itu?

Oh ya, berbalik kepada kekeliruan, kekeliruan apa?

Tentu ramai yang masih ingat lagu 'Aku Bukan Musuh Harta', liriknya nukilan Dr Mohd Asri Zainal Abidin, mantan Mufti Perlis yang diharamkan oleh RTM. Lagu puisi ini dinyanyikan oleh kumpulan Kopratasa. Alasan pengaharamannya mudah. Menurut Timbalan Ketua Pengarah Penyiaran, Datuk Adilah Shek Omar, tindakan RTM mengharamkan lagu itu kerana liriknya tidak sesuai dan kasar.

Wah, rupanya lirik lagu ‘Umbrella’ dan ‘Bad Girl’ nyanyian Rihanna sesuai dan lembut. Bahasa Mufti keras, bahasa penyanyi Amerika lembut. Oh, begitu rupanya. Rupa-rupanya lirik lagu memerangi rasuah adalah keras, lirik lagu Bad Girl yang entah apa-apa pula adalah lembut.

Kalau RTM boleh menghalang lagu Kopratasa berkumandang, mengapa KEKWA tidak boleh menghalang lagu Rihanna berkumandang?

Akhirnya kalah juga Dr Asri dengan Rihann. Dia mengiringi Almarhum Dato' Ishak Baharom yang kalah dengan ratu cantik.

Salam Imtihan




Assalamualaikum dan salam sejahtera buat semua.

Sungguh tak disangka, rupa-rupanya 2 minggu lagi adalah minggu terakhir kuliah bagi semester ini. Selepas itu masing-masing akan sibuk mengulangkaji bagi menghadapi peperiksaan akhir nanti. Tidak ketinggalan juga kelibat mereka yang sibuk mencari dan menyediakan surat maklumlah kehadiran kuliah tidak memenuhi syarat. Aku juga pernah melaluinya dan perkara itu akan terus aku ingat hinggalah di saat aku bergraduat. Itulah antara pengalaman yang menyebabkan aku kepenatan di saat-saat ingin menduduki peperiksaan. Padan muka aku, siapa suruh ponteng kuliah.

Sesetengahnya pula lebih-lebih lagi mahasiswa lelaki. Mereka akan mula sibuk mencari-cari di mana nota kuliah yang telah diedarkan sebelum ini. Nak harap menyalin nota sendiri??? Mungkin bermimpi di siang hari, kerana mereka memang begini, maklumlah momentum otak yang dimiliki lebih cepat berbanding golongan mahasiswi maka bab menyalin nota ni, biasanya diletakkan ke tepi. Bila dah tiba saat-saat emergency, barulah menggelabah melakukan kerja-kerja fotokopi. Mungkin inilah rezeki peniaga di hujung semester ini di samping permintaan terhadap kotak mengalami peningkatan sebab masing-masing mula menyimpan barang-barang untuk bercuti selama 2 bulan.

Air kopi mula menjadi hidangan pilihan, sesi perbincangan kumpulan mula rancak dilakukan. Stok Meggi juga sudah disediakan sebagai makanan bagi mengisi perut yang kekosongan (maklumlah PTPTN semakin berkurangan). Tidak kurang juga yang mengunci diri di bilik dengan alasan ingin bersendirian. Ada juga yang bercakap seorang diri tatkala menghafal formula-formula dan fakta-fakta penting yang akan ditanya dalam soalan. Kertas-kertas mula bersepahan, ada yang mula membuat peta minda yang menjadi teknik hafalan dan ada juga yang sekadar menconteng ruangan kosong yang ada dengan lakaran-lakaran yang sukar ditafsir. Tertekan? Mungkin. Khabar-khabar angin tentang soalan bocor mula tersebar, Yang junior mula mencari senior untuk bertanyakan tentang soalan-saoalan yang lepas. (sebelum ni nak bertanya khabar pun susah).

Itulah antara ragam mahasiswa di minggu-minggu terakhir setiap semester. Kalau tak percaya kita tunggu dan lihat sahaja. Oleh itu saya mengucapkan selamat menduduki peperiksaan kepada semua mahasiswa dan semoga berjaya buat semua.

Berikut merupakan jadual peperiksaan akhir bagi semester ini..Doakan saya ya..

17 Februari 2009
Islamic Studies (9.00 pagi-12 tengahari) PKK

19 Februari 2009
Dinamika Guru (9.00 pagi-12 tengahari) PKK

20 Februari 2009
Insan Guru Dan Keguruan (9.00 pagi-12 tengahari) PKK

23 Februari 2009
Computer Application (9.00 pagi-12 tengahari) Dewan Peperiksaan Utama
Bahasa Arab 1 ( 2.30 petang- 5.30 petang) PKK

25 Februari 2009
Pengurusan GERKO ( 9.00 pagi-12.00 tengahari) PKK

3 Mac 2009
English Language Profiency (9.00 pagi-12.00 tengahari) PKK

Sunday, January 18, 2009

Hidup Terlalu Singkat Untuk Membenci



Ah, terlalu sukar untuk memberi maaf. Bahkan lebih sukar daripada meminta maaf. Masih terasa tusukan rasa bagaikan sebuah dendam yang membara. Masih terngiang-ngiang segala kata. Masih terbayang semua tingkah dan perlakuan. Wajah 'orang-orang bersalah' itu terasa begitu menjengkelkan. Memberi maaf kepada mereka seolah-olah menggadaikan harga diri. Ah, apakah maruah ini terlalu murah untuk di sorong tarik dengan harga yang rendah? Dan cukup sakit, apabila mengenangkan 'musuh-musuh' itu tersenyum dengan kemenangan.

Namun, itu hanya bisik 'hati besarku'. Yang melantunkan suara ego dan marah. Kesat dan kesumat. Tetapi jauh dari dalam diri...ada suara lain yang bergetar. 'Hati kecil' yang tidak jemu-jemu mengingatkan. Suara tulus yang mendamaikan gelombang jiwa. Bisik telus yang meredakan amukan rasa.Maafkan, lupakan...cintai, sayangi...Berperang dengan mereka bererti berperang dengan diri sendiri. Begitu bisik hati kecil itu selalu.

Pada sebuah persimpangan rasa, tiba-tiba hati disapa oleh sebuah firman:
"Tolaklah kejahatan dengan sebuah kebaikan.Nescaya engkau
akan mendapati musuhmu akan menjadi seolah-olah saudara"

Wahai diri,api jangan dilawan dengan api. Nanti bakarannya akan membakar diri sendiri. Menyimpan dendam sama seperti membina sebuah gunung berapi di dalam hati. Semakin besar dendam itu, maka semakin sakit hati yang menanggungnya. Musuh-musuh mu terus ketawa, sedangkan kau sendiri menderita meneguk bisa.

Musim-musim terus berlalu sewajarnya mendewasakan aku. Pengalaman lampau sentiasa membuktikan bahawa permusuhan hanya akan memberi kepuasan sementara. Apabila 'fatamorgana' itu berlalu. Aku akan menjadi lebih dahaga daripada sebelumnya. Apakah akan ku terjah perangkap itu berkali-kali? Oh,tidak. Mukmin tidak akan terperosok dalam lubang yang sama dua kali. Begitu maksud sebuah sabda. Justeru? Cukup sekali!

Biarlah musuh itu ketawa sepuas-puasnya. Beban rasa ini biarlah aku letakkan. Tidak akan ku bawa dalam safar kehidupan yang pendek ini. Hidup terlalu singkat untuk membenci. Bermusuh dengan orang lain, sama seperti bermusuh dengan diri sendiri. Memaafkan orang lain,sama seperti memaafkan diri sendiri. Kata bijak pandai:
"Apa yang kita berikan akan kita terima kembali"

Ah, betapa leganya sekarang...Benarlah bahawa kebaikan itu tampak sukar untuk dilaksanakan. Pahit. Sakit. Tetapi apabila dilaksanakan akan terasa kemanisannya. Manakala kejahatan itu tampak mudah, indah dan manis. Namun apabila dilakukan, pasti ada kekesalan, kepahitan dan keresahan. Ketika ini terasa benar apa yang selalu didengar di dalam tazkirah - yang punya tabsyir dan inzar - bahawa dosa itu sesuatu yang meresahkan. Dendam itu dosa. Memaafkan itu pahala. Memaafkan menjemput datangnya 'syurga' yang fana, sebelum syurga yang baqa'.

Kini hatiku tertanya-tanya lagi...siapa aku, yang begitu sukar memaafkan? Tuan? Tuhan. Aku hanya hamba. Sedangkan DIA Sang Pencipta itu Maha Pemaaf, Maha Pengampun, siapa aku yang kerdil ini untuk terus berdendam? Ya ALLAH, ampunkan aku. Sengaja atau tanpa sengaja, sering atau kekadang...aku 'terlanjur' menumpang hak-MU..

Tuesday, January 13, 2009

Save Palestin!!



Ketahuilah, Palestin kini secara politiknya ada dua bahagian, Genting Gaza (Gaza Strip) & Tebing Barat (West Bank). Secara haknya, seluruh kawasan 'Israel' (secara tegas saya nyatakan negara ini tidak wujud) dan 2 bahagian ini ialah wilayah Palestin yang sebenar.

Bagaimana Gaza mendapat namanya?

Bayangkan kalau seluruh rakyat Pahang dihalau dan disuruh masuk ke kawasan Kuantan dan sekitarnya, maka akan terbentuklah Genting Kuantan. Maka, bandar terbesar di Genting ini ialah bandar Kuantan.

Begitulah juga dengan Gaza dengan bandar utamanya ialah Gaza City. Gaza ni kecil je. lebih kecil daripada Negeri Perlis, dan besar sikit daripada bandaraya Kuala Lumpur (ibu kota Malaysia).

Dulu apabila saya membaca kepadatan penduduk dunia, maka dikatakan kawasan terpadat di dunia ialah Macau la, Malta la, Monaco la. Rupanya Gaza ni lebih padat lagi. dalam kawasan sekecil tu, ada 1.5 juta orang penduduk!

Memang Israel hendak menjadikan Palestin sebagai ground Zero. Mungkin mereka telah 'berjaya' menghapuskan anak muda (setakat ini 30% terbunuh ialah kanak-kanak). Mungkin ramai wanita-wanita yang hilang suami dan sebaliknya.

Namun yang gagal dihalang Israel ialah;

i) dunia semakin tahu akan kedajalan Israel
ii) dunia semakin kenal watak jahat AS dan bagaimana badutnya Bush (dan Obama yang dua kali lima)
iii) dunia semakin tahu akan kehebatan HAM@S
iv) Gaza semakin terkenal
v) ummat dunia terutamanya Muslim bertambah aware akan isu Palestin.

Kepada sahabat-sahabat yang berusia 20-an (atau lebih senior),

Bayangkan kalau adik-adik yang kini berusia 7, 8 atau 13 tahun. Pastinya serangan ke atas Gaza ini dilihat sebagai "oh, satu lagi peperangan.." dan mereka keliru akan siapa yang berada di pihak kebenaran. Lalu terlontarlah persoalan seperti "Hamas pun serang roket jugak kan? So, dua kali lima je lah.."

Sebagaimana kita jahil apabila Intifada pertama, kedua berlangsung, apabila perjanjian Oslo dibuat, atau mungkin sampai ke tahap apabila Sheikh Ahmad Yassin et co dibunuh.

Maka, mari kita sama-sama jadi genuis. Apakah maksud genius? Salah satu definisinya ialah "explain something fairly complex in a simple way". Oleh itu, sama-sama kita cuba terangkan perkara yang nampak kompleks agar mudah difahami oleh adik-adik remaja kita.

Meminjam kata-kata seorang sahabat daripada dunia maya;

"Jadilah batu bata untuk membangun bangunan islam, atau paling kurang jadilah sebutir pasir.
Jangan justru menjadi penghalang atau penghancur kejayaan islam itu sendiri.
ingat yang menghancurkan islam itu adalah umat islam sendiri.
dunia ini hanya sementara kawan."