Wednesday, December 24, 2008

Pilihan Kita Yang Menentukan

Semasa di bangku sekolah "dia" telah pun diberi dua pilihan. Sama ada mahu memasuki aliran Sains atau Sastera. Dan ketika itu "dia" memilih berdasarkan majoriti pilihan kawan-kawan dan juga keluarganya. Akhirnya aliran Sains dipilih.

Selepas bertarung bertahun-tahun dalam aliran Sains. Daripada sekolah menengah sampailah ke matrikulasi. Dan semasa di matrikulasi dia mula menyedari pilihan dia tersebut tidak kena dengan apa yang dia minati.

“Anggaplah Fizik dan Kimia itu satu perkara yang awak betul-betul minat.” Kata seorang pensyarah kepadanya.

Memang perkara itulah juga yang "dia" lakukan sejak sekolah menengah lagi. Berhasil memanglah berhasil tetapi tertekan. Siapa sanggup berpura-pura meminati sesuatu yang diri sendiri memang tidak suka selama bertahun-tahun?

Ketika itu juga "dia" menyedari yang pilihannya ketika di bangku sekolah dahulu bukan kerana majoriti semata-mata tetapi kerana sistem yang dibuat menyebabkannya kelihatan seperti majoriti pelajar memilih aliran Sains.

Manakan tidak, ada 5 buah kelas dalam tingkatannya ketika itu tetapi hanya 2 kelas aliran Sastera dan selebihnya aliran Sains. Memang patut majoriti pilihan pelajar yang "dia" nampak ketika itu adalah jurusan Sains.

Media juga memainkan peranan dalam mempengaruhi mindanya tentang banyaknya peluang pekerjaaan untuk pelajar aliran Sains seperti Doktor, Jurutera dan sebagainya tetapi untuk pelajar aliran Sastera satu pun susah hendak nampak.

Jadi, sebenarnya tika itu majoriti pilihan dipengaruhi oleh sistem dan juga media. Sistem melebihkan pilihan untuk satu pihak dan media hanya mempromosikan satu pihak sahaja.

Ah, patutlah ramai yang bertukar aliran semasa di universiti. Seorang senior memberitahunya, “Satu per tiga daripada setiap batch dalam bidang sains akan bertukar course.

Kini "dia" telah membuat penukaran jurusan daripada Sains Kesihatan kepada Pendidikan TESL. Dan ramai pula yang menentang.

“Kau dah lama dalam health sciences, tak rasa rugi ke tukar course sekarang?”

"Dia" menjawab, “Daripada dahulu lagi sudah diperintah oleh orang yang sama, rasanya tidak rugi kalau bertukar sekarang.”

Apa salahnya berbeza sedikit dengan pilihan majoriti kawan-kawan.

Dan sekarang, "dia" sedang mengatur langkah kembali untuk mencatur minatnya yg sudah sekian lama terpendam.

No comments: