Saturday, June 9, 2007

"Masjid Cina":Satu Perubahan

Kerajaan dan masyarakat wajar menerima kewujudan ‘Masjid Cina’ di negara ini sepertimana yang dicadangkan oleh Persatuan Muslim Malaysia, kata Jamaah Islah Malaysia, (JIM). Pengerusi Hidayah Center, JIM, Haji Nicholas Sylvester berkata, kewujudan umat Islam bangsa Tionghua bukan sesuatu yang asing kepada dunia memandangkan di negara China sendiri, 60 hingga 100 juta rakyatnya beragama Islam. Oleh itu, katanya, kehadiran lebih 60,000 penduduk Tionghua di Malaysia juga patut diambil perhatian, apatah lagi dengan jumlahnya yang saban hari semakin bertambah. “Masyarakat Tionghua adalah antara mereka yang paling ramai memeluk agama Islam di negara ini setiap tahun. “Sudah tiba masanya umat Islam Malaysia menerima keperluan mewujudkan ‘Masjid Cina’ yang bukan sahaja bercirikan fizikal senibina luaran Cina tetapi juga dengan pengisian dalam bahasa dan budaya Cina tetapi berlandaskan Islam dan tidak bercanggah dengan syarak,” katanya. Katanya, masjid berkenaan akan memberi imej yang positif terhadap keanjalan Islam di mana masyarakat Tionghua yang bukan Islam dan sekaligus membuka ruang kepada mereka untuk lebih memahami Islam. Beliau berkata, masjid dengan pengisian seperti khutbah, kelas bimbingan dan bahasa perhubungan Mandarin, akan memudahkan pemahaman dan penghayatan akidah Islam. Tingkatkan pemahaman “Di samping penguasaan perlaksanaan ibadah Islam yang sempurna dan penerapan nilai-nilai Islam yang sebenar kepada masyarakat Islam berbangsa Tionghua,” katanya dalam satu kenyataan semalam. Menurutnya lagi, ‘Masjid Cina” yang menyampaikan khutbah dalam bahasa Tionghua juga tidak bermakna ia akan hanya dikhaskan kepada masyarakat Islam Tionghua sahaja. Sepertimana“Masjid India”, tambahnya, ia juga terbuka kepada semua lapisan masyarakat. “JIM mengalua-alukan pendirian positif pihak berwajid dalam isu ini, dan berharap semua lapisan masyarakat menyokong usaha ini supay aia berhasil diwujudkan dalam masa terdekat,” katanya. Sehubungan itu, beliau menegaskan bahawa kewujudan masjid tersebut bukan bertujuan untuk melebarkan perbezaan perkauman di negara ini. “Sebaliknya, ia adalah satu tindakan yang akan mengiktiraf kewujudan perbezaan kaum dalam Islam dan di negara ini secara positif,” tambahnya. Haji Nicholas menjelaskan, persoalan senibina adalah soal syiar dan tidak membawa kepada percanggahan dengan syarak. “Malah, Islam mengiktiraf perbezaan bangsa dan budaya dengan tujuan saling kenal mengenali (al-Hujurat: 13). Konsep ini untuk masyarakat India sudah wujud di Malayaia, iaitu ‘Masjid India’ dan ia dalah satu pengalaman yang positif,” katanya.

No comments: