Sistem Persekolahan Lambatkan Perkahwinan
mungkin ada benarnya..dan mungkin ada yang boleh disangkalkan...apapun terpulang pada antum untuk menilainya..
Ana berpendapat sistem persekolahan kita yang terlalu lama adalah antara punca mengapa golongan profesional di negara ini lambat berkahwin. Mereka terpaksa menghabiskan masa selama 13 tahun, termasuk Tingkatan Enam sebelum dapat melanjutkan pelajaran ke universiti.
Bagi pelajar Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) atau Tamil, ia akan bertambah setahun kerana mereka perlu memasuki kelas peralihan di sekolah menengah sebelum boleh memasuki Tingkatan Satu.
Bayangkanlah berapa lama masa yang diambil untuk melahirkan seorang tenaga kerja profesional? Akibatnya bukanlah pelik jika kebanyakan graduan institusi pengajian tinggi (IPT) tempatan tamat pengajian selepas agak ‘tua’.
Ana tidak berjenaka dengan menyatakan inilah punca gejala lambat kahwin di kalangan golongan warga profesional. Dengan kos sara hidup yang makin meningkat serta tanggungjawab terhadap keluarga yang perlu didahulukan, pendapatan purata RM2,000 ke atas yang menjadi kemegahan hidup sebagai graduan bukan lagi jaminan bagi menyediakan tabungan segera untuk berkahwin dalam tempoh singkat.
Selepas menamatkan pengajian pada usia 24 atau 25 tahun misalnya, seseorang graduan itu harus menabung sekurang-kurangnya dua tahun lagi sebelum dapat berkahwin. Mungkin remeh di mata sesetengah pihak, tetapi saya tegaskan sekali lagi sistem ‘melewatkan’ pelajar di sekolah seperti sekarang langsung tidak membantu.
Tempoh yang lama itu juga akan menjejaskan hasrat negara untuk melipatgandakan golongan profesional dalam masa singkat. Jika mereka tamat pengajian tepat pada masanya tanpa mengulangi satu semester pun, mereka sudah pasti menamatkannya pada usia pertengahan 20-an.
Itu baru peringkat ijazah Sarjana Muda, belum lagi Sarjana dan Doktor Falsafah (PhD). Di negara maju seperti Amerika Syarikat, rata-rata graduan IPT tamat pengajian pada peringkat ijazah Sarjana Muda pada usia awal 20-an, sekali gus memudahkan proses pembinaan negara melalui kepakaran ilmiah masing-masing tanpa perlu menunggu terlalu lama.
Sistem persekolahan di sana bermula pada usia enam tahun dan mereka tamat pengajian sekolah menengah dengan sijil akademik yang dikenali sebagai ‘General Education Diploma’ (GED). Jika keputusan GED mereka baik dan cemerlang, mereka boleh melanjutkan pelajaran terus ke peringkat Sarjana Muda di kolej dan universiti.
Dalam usia sekitar 21 atau 22 tahun, mereka sudah menamatkan pengajian dan boleh memulakan kerjaya serta membina kehidupan yang lebih baik dengan lebih cepat berbanding graduan kita.
Ana sarankan supaya sistem persekolahan kita dirombak yang mana persekolahan dalam Tahun Satu bermula pada usia enam tahun. Sistem peperiksaan dan kelulusan sekolah menengah pula berakhir dengan diploma.
Mansuhkan program diploma dan jadikan Sarjana Muda sebagai kelulusan terendah dalam hierarki peringkat pengajian di IPT. Malah ana juga mencadangkan supaya latihan perguruan yang bertaraf diploma kini ditukar ke peringkat Sarjana Muda selama empat tahun.
No comments:
Post a Comment