Mengapa Arab Menjadi Hina?
Amat mendukacitakan kita apabila melihat umat Islam khususnya dunia Arab yang berjiran dengan Iraq gagal membuat satu keputusan yang jelas dan tegas mengenai serang yang bakal dilancarkan oleh Amerika terhadap saudara sebangsa mereka, bahkan seagama dengan mereka. Lebih malang daripada itu adanya negara Arab yang sanggup menjadi tali barut mengizinkan kuffar Amerika menggunakan tanahairnya untuk membunuh saudara-maranya yang arab dan muslim. Sebenar sikap tidak bertanggunjawab negara-negara Arab terhadap umat Islam, atau bangsa mereka sendiri bukan perkara baru. Bayangkan negara Israel yang kecil dengan hanya beberapa juta penduduk boleh melanyak rakyat Palestin yang arab, yang berada pula di tengah saudara mara arabnya yang melebihi seratus juta penduduk dari berbilang-bilang negara.
Negara-negara yang berada di sekeliling Palestin hanya mampu untuk melihat sahaja umat mereka dibunuh saban hari dengan begitu kejam. Apa yang mereka adakan hanya persidangan demi persidangan yang sekadar melahirkan bantahan mulut yang tidak ke mana kesannya. Bahkan sebahagian besar mereka sebelum ini kiblatnya hanya ke Washington, menanti ehsan yang tidak akan tiba. Jika kita lihat, ada negara arab yang begitu kaya dengan minyak, tetapi kesemua kekayaan itu hilang samada di tangan pentadbirannya yang tidak bertanggungjawab, atau ditipu oleh dunia Barat. Dengan kekayaan yang ada mereka tetap gagal untuk membina persenjataan yang kuat atau membuat penyelidikan untuk memajukan teknologi negara supaya mereka digeruni. Dalam jumlah beberapa negara arab yang begitu banyak dengan petroleum belum ada yang layak untuk menuju ke negara maju.
Ada pula beberapa negara arab yang rakyat miskin kerana kerajaan yang kononnya ala tentera begitu menumpukan perhatian untuk membina kekuatan ketenteraan, malangnya belum ada satu pun yang sanggup berhadapan dengan Israel. Ada negara arab yang kononnya begitu berpegang kepada dasar kebangsaan arab, seperti negara-negara yang dikuasai oleh pemikiran dan parti bath, malang mereka hanya mampu melihat sahaja saudara mara mereka dirantah oleh musuh saban hari. Ini lebih mendukacitakan jika kita lihat kemisikinan rakyat di sebahgian dunia arab, cukuplah dengan kita meninjau apa yang ada di Mesir, Syria dan seumpamanya. Apatah lagi beberapa negara arab afrika. Persoalan yang patut dikemukakan, mengapa dunia arab jadi begini? Di manakah ketamudunan yang pernah dibina oleh arab? Ke manakah perginya arab yang dikatakan dahulunya pernah membuka empayar yang memberi kedamaian dan keadilan kepada dunia sejagat. Di manakah hilang khazanah tamadun yang dibanggakan oleh umat yang tercatat dengan tinta emas dalam sejarah peradaban manusia? Jawapan sebenarnya terhimpun dan ucapan amirul mukminin `Umar bin al-Khattab r.a. pada hari beliau ke Syam dalam keadaan dan pakaian yang serba sederhana. Beliau ditegur oleh pimpinan tentera kerana bimbang keadaan beliau itu menjejas identiti beliau di hadapan tentera. Beliau menjawab dengan ucapan yang sangat bermakna: “Kita dahulunya adalah kaum yang hina, Allah telah memuliakan kita dengan Islam, andainya kita mencari kemuliaan selain dari apa yang telah Allah muliakan kita dengannya maka kita akan dihina oleh Allah”. Riwayat ini sanadnya dikatakan sahih oleh al-Hakim dan disokong oleh al-Zahabi (Al-Hakim, al-Mustadrak, 1/237, cetakan Dar al-Ma’rifah, Beirut). Arab sebenarnya bukanlah satu bangsa yang dihormati di pentas antarabangsa sebelum kedatangan Islam. Mereka terkenal dengan sikap berpuak dan bermusuhan antara satu sama lain. Banyak di kalangan mereka bernaung dan mencari simpati dua kerajaan besar ketika itu; Rum dan Parsi. Arab menjadi kaum yang sukar untuk disatu dan dipimpin. Kaum yang berpecah dan tidak tersusun. Dengan kedatangan Islam, dan berpegangnya mereka kepada Islam perpaduan dan maruah muncul dalam hidup mereka. Mereka menjadi kaum yang terpimpin. Ternyata bahawa kemuliaan arab hanyalah kerana Islam yang dibawa oleh Nabi s.a.w. Tanpa Islam arab tidak mungkin akan mengukir sejarah yang indah seperti yang pernah mereka ukir dengan tinta emas di bawah panji-panji Islam. Di bawah panji-panji Islam kaum muslimin arab telah berjaya membawa obor gemilang kepada manusia sejagat. Empayar Islam berkembang, bernaung di bawahnya kaum muslimin tanpa mengira bangsa yang penting al-ukhuwwah al-Islamiyyah iaitu persaudaraan Islam. Sehinggakan lahirnya tokoh-tokoh besar umat ketika pemerintahan arab muslimin mereka yang bukan arab. Di dalam bidang hadith umpamanya; al-Imam Abu Abdillah Muhammmad bin Ismail al-Bukhari (wafat 256H), pengarang Sahih al-Bukhari bukan seorang arab. Beliau berasal dari Bukhara, Ukzbek. Al-Imam Abu Isa, Muhammad bin Saurah al-Tirmizi (wafat 297H), pengarang Sunan al-Tirmizi juga bukan seorang `arab. Beliau berasal dari Tirmiz. Pengarang Sunan Abi Daud, Sulaiman bin al-Asy`ath al-Sajistan (wafat 275H) juga bukan seorang arab. Berasal dari Sajastan. Demikian pengarang Sunan al-Nasai bukan seorang `arab. Beliau Ahmad bin `Ali bin Syu`aib al-Nasai (wafat 303H). Begitu juga bukan arab. Berasal dari Nasa, salah satu negeri di Khurasan. Begitu juga pengarang Sunan Ibn Majah, Muhammad bin Yazid al-Qazwaini (wafat 279H), bukan arab, berasal dari Qazwain. Adapun al-Imam Muslim bin al-Hajjaj (wafat 261H), pengarang Sahih Muslim, para pengkaji berbeza pendapat samada beliau seorang `arab atau tidak. Ramai yang menyatakan beliau juga bukan seorang arab. Walaupun mereka semua bukan `arab tetapi Islam telah menjadikan mereka ini tokoh-tokoh hadith umat, satu kedudukan yang begitu tinggi yang diiktiraf oleh `arab dan bukan `arab. Al-Syeikh `Abd al-Fattah Abu Ghuddah r.h mengulas perkara perkara ini dalam bukunya Tahqiq Ismai Sahihain wa Ism Jami’ al-Tirmizi (lihat m.s: 56, cetakan Maktabah al-Makbu`ah al-Islamiyyah, Damsyik) Dalam politik pula, Salahuddin al-Ayubi (wafat 589H) juga bukan seorang arab. Dia berbangsa kurdi. Namun dia telah berjaya menjadi sultan yang disayangi oleh arab dan bukan arab. Dia berjaya mentadbir kerajaan Islam pada zamannya dengan jayanya sehingga berjaya merampas kembali al-Masjid al-Aqsa. Namun arab hari ini telah mencampak jauh Islam. Mereka kembali kepada zaman kehinaan jahiliyyah mereka. Kembali kepada perkauman semata-mata kononnya. Mereka bersidang atas nama liga arab tidak lagi atas nama umat Islam, kecuali jika mereka menghadiri mesyuarat OIC. Banyak masalah mereka cuba selesaikan atas nama arab tidak atas nama umat Islam. Isu Palestin juga cuba dijadikan isu arab sedang ianya isu umat Islam. Salahuddin Al-Ayubi yang berbangsa kurdi membebaskan Palestin tanpa menilai arab atau tidak. Allah telah memenangkannya kerana redha Allah dan umat Islam bersamanya. Ini kerana kemenangan dan pertolongan akan Allah berikan apabila kaum muslimin benar-benar membela agamaNya. Firman Allah: (maksudnya) Dan sesungguhnya Allah telah menolong kamu mencapai kemenangan dalam peperangan Badar, sedang kamu berkeadaan lemah (kerana kamu sedikit bilangannya dan kekurangan alat perang). Oleh itu bertaqwalah kamu kepada Allah, supaya kamu bersyukur (akan kemenangan itu).(Surah Ali `Imran: 123). FirmanNya juga: (maksudnya) Jika Allah menolong kamu mencapai kemenangan maka tidak ada sesiapa pun yang akan dapat mengalahkan kamu; dan jika Ia mengalahkan kamu, maka siapakah yang akan dapat menolong kamu sesudah Allah (menetapkan yang demikian)? Dan (ingatlah), kepada Allah jualah hendaknya orang-orang yang beriman itu berserah diri. (Ali `Imran: 160) Firman Allah juga: (maksudnya) “sesungguhnya Allah akan menolong sesiapa yang menolong ugamaNya (ugama Islam); sesungguhnya Allah Maha Kuat, lagi Maha Kuasa. (Surah al-Hajj:40) Namun apabila perkauman mengambil tempat persaudaraan Islam persidangan liga Arab hanya mendiamkan diri melihat Amerika membunuh umat Islam Afghanistan dan Iraq, Rusia menyembelih umat Islam Chechnya, Hindu membunuh umat Islam Kashmir dan Ahmadabad. Bagi pemimpin arab mereka semua bukan arab maka tidak perlu dibela. Bahkan OIC sendiri gagal mengambil pendirian yang menggambarkan persaudaraan Islam. Ternyata perkauman tidak senilai persaudaraan yang dibina atas akidah yang ajar oleh Allah dan RasulNya S.A.W.Malang bagi arab apabila tiba saat saudara arab, bermula dengan Palestin yang sudah lama isunya, sehingga pada isu Iraq sekarang, perkauman arab gagal untuk membela sauadara arabnya. Pemimpin Iraq begitu taksub dengan pegangan bathnya iaitu pegangan yang membela dan perkauman arab. Pun begitu dalam keadaan sekarang belum ada wajah atau bayang-bayang perkauman yang ingin menolong atau membela atau membantu, atau membantah musuhnya. Kesemua pimpinan arab di sekelilingnya hanya cuba untuk menyelamat periuk nasi masing-masing apatah lagi negara-negara minyak yang mempunyai simpanan lambakan harta di Amerika dan Britain. Ini kerana perkauman seperti akidah islamiyyah. Persaudaraan atas akidah mengharapkan balasan dari Allah, sedang apa yang boleh diharapkan dari perkauman melain pujian bangsa sendiri. Atau pujian dan harta serta kedudukan tentulah para pemimpin aran memilih harta. Kalaulah persaudaran yang mereka bina atas nama akidah, tentu bukan begini jadinya. Firman Allah dalam surah dalam al-Nisa’ ayat: 75 (maksudnya): Dan apakah yang menghalang kamu (maka kamu) tidak mahu berperang pada jalan Allah dan (untuk menyelamatkan) orang-orang yang tertindas dari kaum lelaki, perempuan dan kanak-kanak, iaitu mereka yang selalu (berdoa dengan) berkata: "Wahai Tuhan kami! Keluarkanlah kami dari negeri (Makkah) ini, yang penduduknya (kaum kafir musyrik) yang zalim, dan jadikanlah bagi kami dari pihakMu seorang pemimpin yang mengawal (keselamatan ugama kami), dan jadikanlah bagi kami dari pihakMu seorang pemimpin yang membela kami (dari ancaman musuh)". Kata al-Qurtubiy (wafat 671H): “Allah menggesa untuk berjihad ianya bertujuan menyelamatkan golongan yang ditindas (muslimin) oleh kuffar musyrikin yang menyiksa mereka dengan seburuk-buruk siksaan dan memfitnah agama mereka. Maka Allah ta`ala mewajibkan jihad untuk menegakkan kalimahNya, memenangkan agamaNya dan menyelamatkan hamba-hambaNya yang lemah”( al-Qurtubiy, al-Jami’ li Ahkam al-Quran, 5/279.). Kata al-Imam al-Nawawiy (wafat 676H): “Jihad itu bukan fardu `ain, ianya hanya fardu kifayah. Jika dilaksanakan oleh sebahagian yang memenuhi tuntutan tersebut, maka gugurlah dosa ka atas yang lain. Jika kesemua mereka meninggalkannya maka kesemuanya berdosa. Kata para ulama mazhab kita (ulama al-Syafi`iy) jihad pada hari ini (pada zaman beliau) adalah fardu kifayah, kecuali jika musuh menyerang sesuatu negeri (umat Islam), maka jihad ketika itu menjadi fardu `ain ke atas mereka. Jika mereka tidak mencukupi, maka wajib ke atas penduduk yang berdekatan untuk menyempurnakannya”. (al-Nawawiy, Syarh al-Nawawiy `ala Sahih Muslim, jilid 13, m.s. 9, cetakan Dar al-Ihya al-Turath al-`Arabiy, Beirut ). Kata al-Jasas (wafat 370H): “Adalah sesuatu yang diketahui umum bahawa telah menjadi iktikad seluruh kaum muslimin; apabila penduduk sesuatu negeri dalam ketakutan dari serangan musuh, dan mereka tidak mampu menghadapinya merasa terancam negeri, nyawa dan kaum mereka, maka ketika itu wajib ke atas seluruh umat untuk keluar mempertahankan kaum muslimin dari serangan musuh. Ini adalah perkara yang tiada khilaf lagi di kalangan umat. Tiada sesiapa pun yang menyatakan harus dibiarkan ditumpahkan darah kaum muslimin”. (Ahkam al-Quran, 4/312.). Kata Dr. Abu Syari`ah: “Jihad itu tidak terbatas sekadar mempertahankan aqidah di pusatnya sahaja, bahkan ianya merangkumi mempertahankan muslimin yang ditindas oleh musyrikin dan memaksa mereka meninggalkan dari agama mereka. Maka ini adalah memelihara aqidah, melindungi muslimin, syiar dan masjid mereka pada negeri yang mereka hidup di dalamnya”.( Dr. Abu Syari`ah, Nazariah al-Harb, (Maktabah al-Falah, Mesir) m.s. 37). Firman Allah: (maksudnya) Perangilah mereka, nescaya Allah akan menyeksa mereka dengan (perantaraan) tangan kamu, dan Allah akan menghinakan mereka serta menolong kamu menewaskan mereka, dan Ia akan memuaskan hati orang-orang yang beriman. (Al-Taubah:14). Umat Islam khas negara-negara Arab yang terhina di mata dunia disebabkan sikap mereka yang meninggalkan agama Allah perlu kembali bertaubat dan menghayati hakikat Islam serta berpegang dengannya. Perlu kembali membeli Islam dan bertawakal kepada Allah dengan iman yang sebenar dan pegangan yang kukuh. Kemenanga tidak akan datang selagi akidah dan tawakal umat kepada Allah tidak disucikan kembali. Firman Allah: (maksudnya) Sesungguhnya Allah telah menolong kamu mencapai kemenangan dalam banyak medan-medan perang dan di medan perang Hunain, iaitu semasa kamu merasa megah dengan sebab bilangan kamu yang ramai; maka bilangan yang ramai itu tidak mendatangkan faedah kepada kamu sedikitpun; dan (semasa kamu merasa) bumi yang luas itu menjadi sempit kepada kamu; kemudian kamu berpaling undur melarikan diri. (Surah al-Taubah: 25) Selagi hati umat Islam, khas arab tidak kembali kepada Allah selagi itu kita menjadi hina di mata dunia
No comments:
Post a Comment