Bila Penceramah Mencemarkan Al Quran
Oleh: DR. MOHD. Asri ZAINUL ABIDIN
MELIHAT sesetengah penceramah di dalam atau di luar televisyen berceramah agama dengan menyelitkan kisah nabi-nabi atau wali-wali yang entah dari mana dikutipnya amat merisaukan hati. Sebahagian kisah itu tidak mempunyai sandaran agama yang diiktiraf dari segi disiplin periwayatan. Kebanyakannya Israiliyyat. Lebih malang, sebahagian kisah itu seperti mitos atau kartun.
Apabila dikaitkan dengan Islam, maka hilanglah kehebatan agama yang agung itu. Secara umum Israiliyyat adalah kisah-kisah yang bersumberkan maklumat Yahudi atau Bani Israil. Riwayat-riwayat tersebut terselit atau disebut dalam buku-buku umat Islam. Para ulama hadis sentiasa memperingatkan umat tentang bahaya ini. Banyak riwayat atau kisah Israiliyyat hanya mencemarkan agama. Namun ramai penceramah tidak dapat membezakan antara Israiliyyat.
Dahulu apa yang dinyatakan oleh orang orang tua tidak dibantah. Hari ini barangkali tidak. Mungkin dalam sesetengah perkara dianggap ‘ketinggalan bas’. Dahulu cakap orang bergelar ustaz atau tok guru tidak dibantah, bahkan dianggap berdosa jika melawan. Perbuatan ustaz/ tok guru dianggap agama. Mereka bagaikan wakil ‘Tuhan’ . Ucapan mereka diterima bulat- bulat, bagaikan rasul maksum. Justeru, sekalipun ‘mandi safar’ syirik, namun kerana jampi menteranya ditulis oleh ‘ustaz’, maka sekian lama kepercayaan itu menjalar dalam masyarakat Melayu. Tepung tawar pelepas bala yang mempunyai nilai-nilai syirik dilakukan. Sebabnya kerja ini ‘difrancais’ oleh ustaz atau tok guru. Perkara yang ‘sewaktu dengan semua itu’ bukan sedikit telah berlaku namun hari ini perkara-perkara tersebut banyak yang pupus.
Hari ini dunia lebih moden. Pendidikan dan pengetahuan moden menuntut setiap perkara dikemukakan berdasarkan fakta dan angka. Dahulu barangkali ustaz boleh menceritakan berbagai-bagai riwayat Israiliyyat dengan selesa sehingga timbul kisah Nabi Sulaiman dan Sang Kancil. Watak nabi diperkatunkan. Hari ini kisah-kisah itu dipertikaikan sumber dan ketulenannya. Mereka mungkin menaiki kereta ‘kancil’, tetapi tidak menerima watak lucu itu dikaitkan dengan nabi. Dahulu barangkali seorang ustaz apabila tiba 10 Muharam atau asyura bercerita dengan bebas tentang bubur Nabi Nuh di atas kapal dan berkempen orang ramai memasak bubur itu. Hari ini generasi baru akan bertanya ketulenan kisah itu. Nabi Nuh a.s. dihantar bukan sebagai chef untuk memperkenalkan resipi bubur. Baginda seorang nabi yang mempunyai mesej dakwah yang besar.
Dahulu barangkali seorang ‘ustaz’ bercerita dengan bebas jampi penyeri wajah naik pelamin Nabi Yusuf. Hari ini ia tentu dipertikaikan. Dahulu berdasarkan cerita sesetengah ustaz atau lebai, ada yang ikut mempercayai “Sesungguhnya bumi berada di atas sebiji batu. Batu tersebut berada di atas tanduk seekor lembu jantan. Apabila lembu jantan itu menggerakkan tanduknya, maka batu tersebut pun bergerak dan bergeraklah bumi. Itulah gempa bumi.” Pengetahuan moden menolak kepercayaan ini. Kita menganggap ini riwayat palsu. Kata Ibn Qayyim al-Jauziyyah (meninggal 751H) ketika mengulas riwayat ini: “Yang peliknya ada orang yang sanggup menghitamkan buku-bukunya dengan perkara-perkara merepek ini.” (Ibn Qayyim al-Jauziyyah, Al-Manar al-Munif, m.s.78.)
1 comment:
Post a Comment